Sindiket ‘Love Scam’, 7 ditahan dalam Op Tiong

0
2

SERAMAI lima lelaki dan dua wanita warga asing ditahan dalam tiga serbuan melalui Op Tiong sekitar Puchong, semalam kerana disyaki terlibat dalam penipuan ‘Love Scam’

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, serbuan dilakukan di tiga premis dengan kerjasama Hong Kong Police Force bagi membanteras kegiatan sindiket itu yang dikesan sekitar Selangor.

Katanya, mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia dan Hong Kong.

“Turut dirampas beberapa laptop, telefon bimbit, router, pasport dan sejumlah kad ATM pelbagai bank,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, siasatan mendapati ahli sindiket memasuki Malaysia tiga tahun lalu menggunakan pas pelajar melalui pelbagai nama samaran dan akaun palsu di platform Facebook dan Instagram.

Menurutnya, ahli sindiket akan menghantar permohonan untuk menjadi rakan kepada pengguna media sosial di negara sasaran.

“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis dan janji palsu yang ditaburkan kemudian akan diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka direman sehingga 9 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(C) dan 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here