86 kes jenayah siber disiasat SKMM

0
1

SEBANYAK 86 kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran kandungan berunsur penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja.

Timbalan Menteri Komunikasi Multimedia (KKMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia berlaku sejak tahun 2018 hingga Ogos 2021 termasuklah empat kes yang telah dihadap ke mahkamah.

Katanya, usaha dijalankan SKMM itu akan diteruskan berdasarkan laporan dan aduan awam yang diterima.

Beliau berkata, satu jawatankuasa khas dinamakan Jawatankuasa Jenayah Siber PDRMMCMC telah ditubuhkan bertujuan untuk memerangi ancaman jenayah siber secara lebih strategik dan tersusun.

“Jawatankuasa dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan SKMM ini berperanan menyelaras penguatkuasaan yang lebih pantas dan bersepadu atas perlakuan jenayah siber di, terutama melibatkan isu-isu sensitif,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Zahidi juga menjelaskan, KKMM mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Penjelasan Isu dan Berita Palsu pada 21 Julai 2021 sebagai usaha untuk memperkasakan penyampaian maklumat kepada masyarakat.

“Jawatankuasa ini berperanan membincangkan naratif bagi menjelaskan atau menafikan isu yang dikenal pasti isu semasa serta berita palsu dengan input kementerian-kementerian berkaitan.

“Kementerian hari ini tegas dalam memastikan setiap kesalahan yang dilakukan diadili sebaiknya dan diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here