[PARLIMEN] PAKATAN Harapan (PH) belum berpuas hati berhubung perkembangan pembaharuan yang dijanjikan kerajaan selepas mereka menandatangani perjanjian persefahaman (MOU), baru-baru ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak MOU itu ditandatangani, belum ada satu pun komitmen ditunjukkan kerajaan untuk melaksanakan janji yang dibuat.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan banyak mencanangkan mengenai isu kestabilan politik hasil termeterainya MOU itu.
“Beberapa langkah lain juga bertentangan dengan semangat demokrasi, transparency (ketelusan) dan semangat untuk bekerjasama seperti disebut oleh perdana menteri,” katanya semasa berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed membangkitkan isu perlunya kestabilan politik di negara ini bagi memulihkan semula ekonomi, selain menarik pelabur asing.
Anwar bangkit mencelah untuk “membetulkan kenyataan” dibuat Mustapa (PN-Jeli).
“Saya nak jelaskan di sini kepada menteri untuk membetulkan kenyataannya bahawa (MOU) ada kemajuan, meredakan suhu politik yang kami sokong pada awalnya.
“Tetapi saya nak nyatakan pada hari ini, kami tidak berpuas hati (dengan perkembangan MOU tersebut) kerana ia lembap dan sengaja dilengah-lengahkan,” katanya.
Pada 13 September lalu, PH dan kerajaan telah menandatangani MOU Transformasi dan Kestabilan Politik sebagai langkah meredakan kemelut politik dan mencapai kestabilan politik. – Malaysiapost

