
DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mendakwa telah menerima tawaran daripada empat parti lain untuk disertai mereka.
Sehubungan itu, Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Harun serta Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata mereka sedang mempertimbang tawaran tersebut dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat.
Menurut Idris, beliau sendiri telah dihubungi dua presiden parti politik yang menawarkan tempat kepadanya, namun enggan mendedahkan parti itu.
“Ada tiga atau empat parti hubungi saya bila tersebar berita saya dipecat. Pada masa sama, dua presiden parti telah hubungi saya.
“Apa yang berlaku ini, satu pintu turtutup, banyak lagi yang terbuka,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sementara itu, Nor Azman berkata beliau dan Idris tidak akan bertanding atas kerusi Bebas jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam masa terdekat.
“Tidak (bertanding Bebas), kami akan fikirkan parti mana kami nak sertai. Bagi saya, kita akan cari parti, setakat ini banyak menawarkan tempat kepada kami, kami akan beritahu kemudian,” katanya.
Semalam Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan dua Adun Umno di Melaka yang mengkhianati parti akan dipecat kerana mereka hilang taat setia kepada Umno.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata keahlian Idris dan Nor Azman tergugur serta-merta susulan tindakan mereka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook
