3 beradik reka cerita diculik, minta bapa wang tebusan

0
3
Polis Di Raja Malaysia

TIGA beradik sanggup mereka-rekakan cerita kepada bapa sendiri dengan mendakwa kononnya mereka diculik untuk mendapatkan sejumlah wang tebusan dalam kejadian Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata tiga suspek wanita berusia antara 25 hingga 32 tahun itu telah membuat panggilan telefon kepada bapanya mengatakan kononnya mereka dikurung.

Bagaimanapun, katanya, mangsa berusia 66 tahun itu kemudian segera membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa anak-anaknya.

“Menurut mangsa, melalui panggilan telefon anaknya telah memaklumkan bahawa bapa mereka perlu menyediakan sejumlah wang jika mahu dilepaskan.

“Bagaimanapun, pada jam 8.30 malam semalam, polis telah menahan tiga suspek di dua lokasi berasingan,” katanya dalam kenyataan.

Zaharudin berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek telah berkonspirasi membuat cerita palsu bahawa mereka dikurung bagi mendapatkan wang dari bapanya.

“Kesemua wanita berkenaan kini direman bermula hari ini hingga Khamis ini di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang kejadian jenayah palsu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here