PRN Melaka: PN sedia runding dengan Umno, elak 3 penjuru

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) Melaka sedia berunding dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri itu untuk mengelak pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata tiga parti dalam PN iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan telah bersetuju supaya soal pembahagian kerusi dirunding bersama Umno.

Namun katanya, terpulang kepada Umno dan BN Melaka sama ada mahu berunding atau sebaliknya.

“Kita sedia runding, namun di peringkat Umno media kena tanya Pengerusi BN Melaka, saya dah runding dengan PAS serta Gerakan dan PN negeri setuju untuk berunding dengan Umno.

“Sebagai parti komponen PN, tentulah Bersatu, PAS dan Gerakan tidak akan bertembung,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata jika Umno bersetuju, barulah rundingan mengenai pembahagian kerusi dapat dijalankan dengan semua yang terlibat.

“Kita nantikan keputusan Umno untuk runding atau sebaliknya. Kalau dah runding baru boleh bincang soal kerusi,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Adun Telok Mas dari Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad yang hadir sidang media bersama Pakatan Harapan (PH) semalam bagi membentuk kerajaan baharu, Mohd Rafiq berkata ia secara tidak langsung menyebabkan keahliannya tergugur serta-merta.

“Mana-mana ahli parti yang membuat keputusan bertentangan dengan dasar parti, iaitu bersama PH, secara automatik keahlian YB Telok Mas tergurgur, bukan dipecat.

“Bila dia bersama PH dalam sidang media semalam, itu sudah cukup untuk keahliannya tergugur sendiri,” katanya.

Terdahulu hari ini, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka Yang Ke-14, berkuatkuasa semalam.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Proklamasi Pembubaran DUN akan diwartakan hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here