Pejuang agih beras di 12 Parlimen Wilayah Persekutuan Sabtu ini

0
3

PEJUANG Wilayah Persekutuan akan melaksanakan misi bantuan beras ke 12 kawasan Parlimen, Sabtu ini.

Ketuanya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata ibu pejabat Pejuang Wilayah Persekutuan telah menyediakan 3,500 kilogram beras untuk diagihkan di kesemua kawasan Parlimen berkenaan.

“Fokus perjuangan kami hanyalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat dengan mencari pelbagai kaedah bantuan bagi mengurangkan kos sara hidup warga kota yang sedang mengalami kesempitan hidup seharian ketika ini.

“Biarlah kami dikenali sebagai parti berkebajikan daripada sebuah pertubuhan yang sentiasa bermain politik seterusnya menghuru-harakan lanskap politik tanah air yang bakal membebankan lagi hidup rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata walaupun Pejuang tidak terlibat memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang, namun pendirian parti itu akan terus menyokong apa saja agenda demi kepentingan bangsa dan negara.

“Pemimpin tertinggi Pejuang terdiri dari kalangan yang berprinsip tinggi serta amat rasional. Tanpa memeterai apa saja bentuk perjanjian dengan kerajaan; agenda utama Pejuang adalah untuk membantu menjaga kebajikan mahupun kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

“Agenda menjaga kepentingan bangsa dan negara tetap menjadi teras utama perjuangan Pejuang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here