PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan supaya Bersatu dibubarkan dan pemimpin serta ahlinya kembali ke pangkuan Umno.
Perkara itu dinyatakan Ahmad zahid jika benar Bersatu benar-benar jujur dan ikhlas menjalinkan kerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
“PPBM (Bersatu) tidak perlu hipokrit dan “play innocent” dalam soal kerjasama sedangkan rakyat pun tahu hakikat itu. Jika benar demi sebuah kerjasama yang jujur serta ikhlas, apa kata bubarkan PPBM dan kembali ke pangkuan Umno.
“Mungkin Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan akar umbi Umno akan berlembut hati untuk menerima mereka semula,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata antara faktor akar umbi Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu ialah Umno adalah parti keramat agama, bangsa dan negara serta bukan milik mana-mana individu yang mana prinsip itu tidak mahu dikorbankan.
Malah katanya, sebarang cubaan untuk mempergunakan dan memanipulasi UMNO tidak boleh diterima, selain akar umbi Umno yang pernah terpedaya dengan pembohongan Bersatu pada PRU14 menginsafi kesilapan lalu.
“Mereka berazam memperbaiki keadaan dengan mengembalikan dominasi Umno pada PRU15. Akar umbi Umno percaya dengan yakin parti ini akan bangkit di bawah panji Barisan Nasional (BN).
“PPBM adalah parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh mereka yang kecewa gagal menguasai Umno untuk kepentingan kendiri, kemudian bersekongkol dengan Pakatan Harapan/DAP untuk menjatuhkan Umno dalam PRU14 melalui propaganda, fitnah dan penipuan dilemparkan ke atas pimpinan Umno.
“Akar umbi melihat ketidakjujuran PPBM dengan cuba mencuri dan membeli ahli Umno,” katanya. – Malaysiapost

