TIDAK seperti pilihan raya sebelum ini yang menyaksikan ramai nama besar atau pemimpin berpengaruh bertanding, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini hampir dipenuhi nama baharu yang belum dikenali.
Secara keseluruhannya, calon nama besar dan berpengaruh kali ini mungkin hanya sekitar 20 atau 30 peratus daripada 446 calon bertanding.
Ia mungkin dilihat kurang meriah kerana tidak ramai pemimpin lama, namun PRN ini tentunya satu era baharu pilihan raya untuk menguji bakat baharu politik, sesuai dengan norma baharu semasa.
Berdasarkan senarai selepas penamaan calon semalam, hanya beberapa nama sesuai dikategorikan berada dalam kelompok nama besar dan berpengaruh.
Di pihak kerajaan, Parti Warisan Sabah (Warisan) tentunya menyandarkan kekuatan kepada presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Ketua Menteri.
Mohd Shafie akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Selain beliau, tiada pemimpin lain dalam Warisan yang menonjol sangat, mungkin kerana kehadiran mereka sebagai anggota kerajaan terlalu singkat berbanding presiden mereka.
Nama-nama seperti Datuk Darell Leiking (Moyog), Datuk Jaujan Sambakong (Sulabayan), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Junz Wong (Tanjung Aru), dan Datuk Mohamadin Ketapi (Segama) belum dikenali sangat dalam kalangan rakyat Sabah.
Begitu juga rakan parti Warisan yang lain, hanya ketua masing-masing boleh dianggap menonjol kerana kedudukan sebagai ketua menjadikan mereka rujukan penting orang ramai.
Nama seperti Datuk Madius Tangau selaku Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mungkin tidak dikenali jika beliau bukan pemimpin lama dan menjadi ketua parti.
Begitu juga Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, mereka dikenali kerana menjadi ketua parti.
Di pihak lawan pula, walaupun nama besar seperti Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor (Sulaman); Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag) dan Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Tambunan) bertanding, namun dilihat masih ada yang kurang.
Parti Bersatu Sabah (PBS) pula, walaupun masih ramai pemimpin lama diturunkan, seperti Timbalan Presiden, Datuk Radin Maleh (Melalap), Datuk Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu) dan Datuk Jahid Jahim (Tamparuli), nama mereka belum cukup kuat untuk menandingi bekas Presiden, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Jika sebelum ini ada nama besar seperti bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dan Pairin selain bekas Menteri Wilayah, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta senarai penyandang Kabinet negeri yang sudah lama dikenali, sekarang sudah tiada.
Cuma kali ini ada beberapa nama lama berpengaruh kembali bertanding seperti bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Pintasan); bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak (Usukan) dan Tan Sri Chong Kah Kiat (Inanam).
Seorang lagi ialah bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (Bongawan).
Kehadiran mereka pasti mencuri tumpuan kerana ramai mahu melihat sama ada mereka masih berpengaruh untuk memenangi kerusi ditandingi.
Menariknya, kebanyakan pemimpin lama ini ditentang muka baharu dari kalangan orang muda, menggambarkan pengaruh dimiliki pemimpin terbabit sebelum ini tidak menakutkan mereka yang masih baharu.
Situasi itu juga mungkin memperlihatkan corak kempen berbeza antara calon pemimpin lama dan baharu, masing-masing bersandarkan pengalaman dan pengaruh lawan misi masa depan mengikut acuan orang muda.-Malaysiapost

