‘Negara tidak akan stabil, selagi tiada Akta Anti Lompat Parti’ – Asyraf Wajdi

0
3

KERAJAAN harus segera menggubal Akta Anti Lompat Parti demi memastikan kestabilan negara terus berkekalan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ketiadaan akta itu akan menyebabkan ‘katak-katak politik’ yang mempunyai agenda peribadi akan terus rakus terhadap kuasa.

“Kerajaan harus segera gubal Akta Anti Lompat Parti. Selagi tiada Akta ini, selagi itulah politik negara tidak akan stabil lantaran terus wujud katak-katak politik berkepentingan dan rakus kuasa hingga rakyat menjadi mangsa,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, episod lompat parti jangan dilihat daripada satu sudut semata-mata kerana semua pihak mempunyai ‘saham’ di dalamnya.

“Sebagaimana yang berlaku dalam episod seawal Kerajaan PH dibentuk, Sabah menyaksikan negeri pertama jatuhnya kerajaan apabila beberapa Adun BN lompat ke Warisan.

“Kemudian PH juga menghalalkan lompat parti 15 Ahli Parlimen Umno ke PPBM (Bersatu). Akhirnya, PH jatuh juga kerana PPBM melompat keluar daripada menjadi komponen PH, ditambah beberapa Ahli Parlimen PKR lompat kepada PPBM,” katanya.

Beliau berkata, putaran roda terus berlaku bak kata pepatah Inggeris ‘What Goes Around Comes Around’.

“Episod jatuh bangun kerajaan kerana lompat melompat terus berlarutan sehingga menyebabkan politik negara tidak akan stabil,” katanya.

Semalam, teka-teki pergelutan politik di Melaka terjawab apabila empat ADUN yang disebut-sebut terlibat, mengumumkan penarikan sokongan mereka sebentar tadi.

Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Ini bermakna kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tumbang kerana hilang sokongan majoriti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here