KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengesan terdapat pelancong ke Langkawi menerusi projek gelembung pelancongan, menggunakan khidmat pengusaha pelancongan tidak berlesen dan tidak berdaftar.
Menurut MOTAC menerusi kenyataan hari ini, sebahagian besar pelancong dilihat lebih cenderung untuk membuat tempahan tiket pengangkutan, penginapan, dan tiket lawatan secara persendirian.
Sehubungan itu, kementerian itu menasihatkan pengusaha tidak berlesen untuk memohon lesen dengan MOTAC bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“MOTAC ingin menyeru kepada orang ramai agar sentiasa mengunakan perkhidmatan
pengusaha pelancongan berlesen dan berdaftar serta sentiasa mendapatkan maklumat atau perkembangan terkini melalui www.motac.gov.my,” kata kenyataan itu.
Sementara itu MOTAC memaklumkan pasukan penguatkuasaan kementerian itu telah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti Pelancongan Domestik di Langkawi selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Oktober 2021.
Pemantauan diadakan di laluan pintu masuk laut dan udara ke Langkawi dan tempat-
tempat yang menjadi tumpuan pelancong.
Menurut MOTAC, ia bertujuan memberi mesej kepada penggiat industri pelancongan bahawa pihaknya sentiasa memberi penekanan terhadap aspek penguatkuasaan serta pematuhan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dari semasa ke semasa.
“Fokus pemantauan adalah untuk melihat sejauh mana Tour Operating Business & Travel Agency Business (TOBTAB) patuh terhadap SOP ditetapkan di samping mendapatkan reaksi orang ramai yang melancong dalam suasana norma baharu.
“Pasukan penguatkuasa turut meninjau premis pelancongan bagi melihat
perkembangan terkini aktiviti perniagaan serta memaklumkan kemudahan dan kelonggaran diberikan kerajaan melalui MOTAC sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Antaranya pengecualian Fi pembaharuan lesen, diskaun pengurangan kompaun 40%, bantuan kewangan PEMERKASA dan PEMULIH,” katanya.
Antara lokasi dipantau adalah sekitar Kilim Geoforest Park, Tanjung Rhu, Langkawi SkyCab, Langkawi Wildlife Park, Pantai Cenang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Terminal Jeti Kuah Langkawi.
MOTAC berkata, hasil soal selidik juga mendapati kebanyakan pelancong ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan berpuas hati terhadap khidmat pengusaha pelancongan yang disediakan sepanjang percutian mereka.
“Pelaksanaan aktiviti pemantauan SOP ini juga bertujuan memastikan Keluarga Malaysia dapat melancong dengan selamat dan secara tidak langsung boleh membantu menjana semula pendapatan negara melalui aktiviti pelancongan domestik.
“Ia juga selaras sasaran mencapai kehadiran 400,000 pelancong ke Langkawi sehingga Disember 2021.
“Dalam masa sama, kejayaan gelembung pelancongan Langkawi boleh dijadikan penanda aras untuk membolehkan destinasi pelancongan lain mengadaptasi SOP dan kaedah pengurusan baik setelah negara mencapai kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa 90 peratus,” katanya. – Malaysiapost

