PM yakin SPR laksana SOP ketat sekiranya berlaku PRN

0
1

Nurul Huda Abhar

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan situasi di Sabah tidak berulang.

Katanya, beliau maklum mengenai kerisauan orang ramai yang bimbang jika ada lagi PRN ketika kes harian Covid-19 masih tinggi.

“Saya pun dengar mengenai itu. Media sosial saya juga dihujani dengan pandangan yang kata takut kalau ada PRN seperti Sabah. Kes (Covid-19) di Sabah sudah menurun tapi disebabkan PRN Sabah ianya meningkat.

“Bagaimanapun jika diadakan (PRN), saya tidak tahu jika diadakan atau tidak. Jika diadakan sekalipun saya percaya SPR akan mengeluarkan SOP yang ketat bagi memastikan kawalan dapat dibuat,” katanya kepada media selepas pelancaran Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021, hari ini.

Kebimbangan itu tercetus berkaitan dengan krisis politik di negeri Melaka apabila Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengumumkan beliau bersama tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan kerajaan negeri.

Selain Idris, tiga Adun yang terlibat ialah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Noor Azman Hassan (Pantai Kundor).

Mengulas lanjut berkenaan krisis politik di Melaka, Ismail Sabri berkata, semua pihak harus menunggu keputusan daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Katanya, perbincangan berkenaan SOP jika PRN diadakan juga akan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya percaya kita akan bincang dengan KKM tapi sekarang ini masih terlalu awal, kita pun tak tahu apa yang akan berlaku. Jadi tunggu sehingga diputuskan oleh TYT terutamanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here