“KEMELUT politik Melaka amat mengecewakan kerana ia dicetus oleh individu yang pernah menerima nikmat kerusi sama (Ketua Menteri)”, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Beliau berkata, individu berkenaan juga sanggup menikam kawan dan parti serta membelakangi agenda rakyat, negeri dan negara semata-mata untuk mengejar status.
Beliau berkata, krisis itu dicetus oleh individu-individu tertentu tanpa merujuk prestasi baik kerajaan negeri amat mengecewakan, sedangkan kerajaan itu ditubuhkan bersama mereka.
“Saya mengamati sidang media Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Raof Yusoh yang jelas menegaskan bahawa sebenarnya tiada masalah dalam kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
“Maka kemelut ini sengaja diwujudkan oleh individu yang mengejar agenda peribadi dan nafsu mahu jadi Ketua Menteri, bukannya agenda parti mahupun rakyat.
“Yang peliknya, PH juga nampak mahu menerima tindakan ini meskipun telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam politik baharu sehingga PRU-15 yang bukannya terlalu lama lagi,” katanya menerusi kenyataan kepada Umno Online.
Shahril lagi yang juga Naib Ketua Pemuda Umno berkata, dalam suasana seluruh negara mahu menjayakan senario ketenangan setelah berbulan-bulan mendepani kemelut, individu-individu berkenaan amat mengecewakan.
“Apatah lagi kes Covid-19 mula terkawal dan vaksinasi meluas, sekaligus memberi peluang pemulihan ekonomi baik di peningkat nasional mahupun negeri Melaka sendiri,” katanya.
Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Idris yang juga ADUN Sungai Udang berkata, penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang `flip-flop’ serta tidak dilaksanakan dengan sempurna. – Malaysiapost

