SEJAK Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Malaysia telah mengalami penyakit politik baharu di kalangan wakil rakyat.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan pasca PRU14 menyebabkan landskap politik negara telah hilang kesimbangan sehingga terdapat wakil rakyat memperdagangkan politik mereka untuk meraih kepentingan tertentu.
“Mereka memperdagangkan diri mereka seolah- olah mereka ini komoditi politik.
“Inilah yang kita hadapi sekarang dan ia menyebabkan kita menghadapi situasi politik yang amat janggal daripada kita lalui sebelum ini.
“Kesetiaan kepada parti dah tak ada sedangkan parti lah yang memberi mereka tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas disiarkan secara langsung menerusi Umno Online, malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, senario politik terkini telah mengundang tiada lagi elemen politik yang mengusai kerajaan.
Malah, senario ini telah mewujudkan sikap ahli politik yang mudah kehilangan moral dan prinsip yang selama ini menjadi pegangan mereka.
“Yang paling malang sekali ialah moral politik Malaysia sangat susut dari segi nilai moral, prinsip.
“Ahli politik kita dah jadi barang dagangan politik. Tak ada lagi kesetiaan kepada parti. Tidak lagi setia dengan pengundi-pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada mereka,” katanya.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, ahli politik seolah-olah lupa bahawa rakyat telah memilih mereka menjadi wakil rakyat.
“Jika mereka menjual seperti komoditi dan tidak ada pembelinya, itu tidak akan terjadi seperti sekarang. Tetapi pembeli lebih ramai sekarang.
“Dan yang paling tak baik mereka ini diraikan oleh parti lain, ini menyebabkan suasana menjadi lebih meriah.
“Jadi maknanya keadaan menjual diri sendiri ahli politik ini semakin menjadi-jadi. Ini tidak baik kepada negara kita,” katanya.
Beliau menambah, ketidakstabilan politik ini tidak pernah dialami sejak negara merdeka sehingga kerajaan yang dibentuk tidak lagi dijamin keutuhannya.
“Tiada lagi parti politik yang benar-benar dominan. Dan kekuatan politik Melayu terutamanya adalah paling lemah dalam sejarah politik tanah air.
“Pasca PRU14 ini petanda politik menguasai kerajaan dah tak ada lagi dah. Itu sebabnya dalam masa tiga tahun, tiga Perdana Menteri.
“Dulu kita pernah ketawa kepada negara-negara lain seperti Jepun dan sebagainya, tapi hari ini ia dah menjadi satu penyakit politik baru di negara kita,” katanya. – Malaysiapost

