SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri bagi menyelesaikan krisis politik di negeri itu.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Melaka berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) blok kerajaan negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam untuk membuat keputusan mengenai kerajaan negeri Melaka selepas ini.
“Tempoh 19 bulan kerajaan Melayu Islam dibentuk di negeri ini dalam keadaan baik, tapi kita digegarkan oleh kemelut politik.
“Dalam suasana kerajaan Persekutuan menjalinkan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH), tapi mereka tidak memperdulikan hasrat yang tersirat itu dan memberi tekanan kepada kerajaan negeri untuk meruntuhkannya.
“(Sehubungan itu) Kita serahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk menentukan kedudukan kerajaan negeri selepas ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Ditanya status keahlian Adun Umno yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, Ab Rauf menegaskan, secara automatik keahlian Umno mereka terlucut serta-merta.
“Apabila mereka menarik sokongan daripada kerajaan negeri dan menyokong pihak lain pula, naka secara automatik gugurnya haknya sebagai ahli Umno,” katanya.
Krisis politik di Melaka tercetus apabila Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengumumkan beliau bersama tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan kerajaan negeri.
Selain Idris, tiga Adun yang terlibat ialah Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Adun Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan. – Malaysiapost

