KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar Dewan Rakyat untuk segera membahaskan isu mengenai pendedahan ‘Pandora Papers’, yang hangat diperkatakan, hari ini kerana ia membabitkan beberapa nama besar dalam negara.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pihaknya telah telah menghantar suatu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung perkara berkenaan.
“Saya percaya perkara ini juga adalah berkenaan kepentingan orang ramai kerana ia turut menyebut nama-nama tokoh politik kerajaan dan juga pembangkang.
“Saya mohon usul ini dipertimbang dan dilulus untuk dibahaskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu media melaporkan mengenai Pandora Papers yang merupakan pendedahan fail kewangan sulit sebesar 2.94 terabyte kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ). ni.
Pendedahan itu melibatkan lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat shell dan pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.
Mereka termasuklah Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Zainal Abidin, Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid ketika menjawab celahan dibuat Ahli Parlimen Jelutong mengenai isu berkenaan ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK) di Dewan Rakyat, hari ini menjelaskan perkara itu berlaku ketika beliau berada dalam sektor korporat.
Rayer meminta Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengulas mengenai pendedahan Pandora Papers yang mengatakan beliau mempunyai akaun simpanan di luar negara.
“Saya tidak mahu ambil kesempatan di Dewan yang mulia ini…tetapi sila siasat bahawa apa yang dikatakan itu adalah ketika saya berada dalam sektor korporat bila saya menjadi CEO kepada sebuah syarikat yang tersenarai.
“Ketika itu syarikat yang saya ketuai mempunyai pelaburan di sebuah negara besar dan mempunyai konsesi dari negara berkenaan untuk membuat kedudukan pelaburan antarabangsa (IPP) ketika itu.
“Keuntungannya tidak dapat dibawa ke negara, sebaliknya diminta dilaburkan kembali di negara berkenaan dan tentunya sebagai syarikat yang tersenarai mahu dividen dapat diberikan kepada pemegang saham,” jelasnya.
Beliau menjelaskan syarikat yang terbabit juga sudah tiada lagi dan bersedia menerangkan lebih lanjut kepada Rayer di luar Dewan Rakyat. – Malaysiapost

