PRN Sabah: Gagal tentukan Ketua Menteri beri gambaran kelemahan PN

0
2

KEGAGALAN menentukan lebih awal calon Ketua Menteri jika Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang Pilihan Raya Negeri (PRN), menggambarkan kelemahan gabungan itu berbanding lawannya.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Aliasgar Basri, berkata rakyat tertanya-tanya siapa yang bakal menjadi Ketua Menteri gabungan itu sedangkan Warisan jelas ada pemimpin yang akan menggalas jawatan itu.

“Warisan Plus sudah jelas, Ketua Menteri kita selepas menang PRN ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Rakan parti pun bersetuju dan menyokongnya.

“Rakyat juga tahu dan tiada lagi persoalan siapa Ketua Menteri jika Warisan Plus kembali memerintah.

“Ini berbeza dengan PN, walaupun dikatakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor bakal Ketua Menteri, ia belum tentu lagi kerana Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin pun dikatakan mahu jawatan itu,” katanya di Tuaran.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan Hajiji yang menjadi lawannya di DUN Sulaman bakal Ketua Menteri jika gabungan PN, BN dan PBS menang.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan Hajiji mungkin bakal Ketua Menteri Sabah yang baharu jika rakan PN bersetuju.

Mengulas lanjut, Aliasgar berkata kedudukan Hajiji yang juga bapa saudaranya sebagai bakal Ketua Menteri tidak menjejaskan peluang Warisan untuk merampas kerusi DUN Sulaman.

Beliau yakin kerusi yang disandang Hajiji selama enam penggal itu bakal beralih tangan kepada Warisan kerana rakyat di Sulaman mahukan pembaharuan.

“Saya cukup yakin kali ini rakyat Sulaman akan menyokong Warisan kerana kita bukan saja ada calon tetap Ketua Menteri, malah mempunyai misi jelas untuk rakyat Sabah,” katanya.

DUN Sulaman menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Aliasgar, Hajiji dan seorang lagi calon dari Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Rekan Hussein.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Hajiji mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 7,774 mengalahkan lawan terdekat dari Warisan, Datuk Abdullah Sani yang memperolehi 5,192 undi. – Malaysiapost