PRN Sabah: Warisan pecat ketua bahagian bertanding bebas

0
1

PARTI Warisan Sabah (Warisan) memecat Ketua Bahagian Keningau, Jake Nointin selepas melanggar peraturan parti dengan bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jake adalah antara tujuh calon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, menentang calon rasmi Warisan, Rasinin Koutis.

Jake turut berdepan cabaran calon Perikatan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS), Usno, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) di kerusi berkenaan.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretta Padua mengumumkan pemecatan Jake dalam satu kenyataan malam tadi, dengan alasan perlembagaan parti melarang ahli bertanding melawan calon parti dalam pilihan raya atau tanpa izin.

Sementara itu, Basal Bullah dilantik sebagai pemangku Ketua Warisan Bahagian Keningau.

Semalam, sekutu Warisan, DAP turut memecat ahli yang bertanding di bawah logo berbeza.

Julius Favianus, ahli DAP Bahagian Liawan diumumkan sebagai calon LDP di DUN Bingkor.

Dia bertanding melawan calon DAP, Odom @ Peter Dhoms Saili @ Soili, selain calon PN, PBS, Usno, dan PCS.-Malaysiapost