Jangan baca tajuk saja, kata Armada kepada Ketua Penerangan Umno

0
2
Sharil_hamdan

ARMADA Bersatu meminta Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan supaya mengkaji laporan media terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Menerusi satu kenyataan semalam, Armada turut meminta Shahril tidak membaca tajuk semata-mata berkaitan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, kerana apa yang dilaporkan berbeza dengan dimaksudkan Perdana Menteri.

“Laporan Berita Harian memetik kenyataan Perdana Menteri seperti berikut;

“Kerja untuk bantu calon kita ini manalah tahu kalau rakan-rakan kita dalam PN, Barisan Nasional (BN) dan yang lain pun bersetuju, …Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah.”

“Adalah jelas Perdana Menteri sekadar memberi bayangan yang ia cadangan semata-mata dan hanya boleh berlaku jika dipersetujui semua rakan gabungan termasuk BN,” katanya

Armada bagaimanapun mengambil maklum Shahril sudah menyedari kesilapannya berhubung satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebooknya.

Shahril menerusi kenyataan semalam berkata kenyataan Muhyiddin berkaitan calon Ketua Menteri Sabah tidak dibincangkan bersama Umno dan BN.

Apa yang lebih penting, tegas Hamdan, satu perbincangan bersama perlu dilakukan bagi meleraikan isu tersebut.

Beliau bagaimanapun mengeluarkan satu lagi kenyataan apabila menyedari kenyataan Muhyiddin telah disalahtafsir dan Perdana Menteri tidak pun menetapkan calon Bersatu di DUN Sulaman, Datuk Hajiji Noor adalah calon Ketua Menteri. – Malaysiapost