
SEBAHAGIAN besar fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah menumpukan kepada pembasmian kemiskinan dan membantu kumpulan B40 serta M40 meningkatkan ekonomi mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sekali gus menolak dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan hanya memfokuskan kepada kroni dan masyarakat lebih berkemampuan melalui RMK12 yang dibentangkan minggu lalu.
Malah, Perdana Menteri menyifatkan perkara yang paling utama dalam sembilan fokus RMK12 ialah soal pembasmian kemiskinan.
“Saya nak beritahu ada pihak mengatakan kita fokus kepada perkara besar saja, tapi meninggalkan perkara kemiskinan.
“Malah lebih separuh, mungkin tiga per empat dalam RMK12 menumpukan kepada kemiskinan dan sebutkan bahawa sasaran 2025 untuk atasi miskin tegar.
“Jadi tak betul dikatakan bila saya umum pasal agenda bumiputera, dari segi ekuiti dan sebagainya, orang kata ini kerajaan tumpukan kepada kroni dan orang kaya sahaja. Tapi tidak untuk orang miskin,” katanya dalam program wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan Astro Awani, malam ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan banyak merancang program untuk golongan miskin tegar antaranya melalui program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar dan skim pembangunan kesejahteraan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion. – Malaysiapost
