
KES gangguan seksual yang didakwa membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew masih menjadi tanda tanya kesahihannya hingga pelbagai spekulasi dan andaian terutama di media sosial membabitkan warga maya.
Seorang sahabat baiknya, Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria yang sebelum ini tular susulan artikel berkenaan pendakwah terbabit yang dikongsinya di media sosial tampil memberi pesanan kasih sayang kepada Ebit Lew dan seluruh rakyat Malaysia.
“Hari ini saya titipkan pesanan menjawab segala persoalan yang bertubi-tubi kepada saya berkenaan Ustaz Ebit Lew.
“Semoga Allah ampunkan saya. Amin Amin Amin Ya Rabb. Bacalah dengan lapang dada semata-semata kerana Allah,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau mendoakan agar Ebit Lew dikeluarkan dari segala kesulitan yang dihadapi kini jika dakwaan yang dihadapinya kini adalah benar kerana kerosakan yang berlaku adalah besar.
“Semoga Allah mengampunkanmu dan mengampunkan diriku serta semua rakyat Malaysia. Sesungguhnya pada bahumu tergalas begitu banyak harapan manusia dan amanah yang perlu dipikul.
“Pasti ada ubat dan penawar. Ubatilah dirimu dan carilah jalan keluar sebelum terlambat. Terlalu ramai ingin menolongmu. Sangat ramai.
“Setiap tipu daya tidak boleh ditutup dengan tipu daya wahai sahabat. Ia menghancurkan banyak hati dan menghancurkan seluruh hidupmu sahabat,” katanya.
Noor Laila juga mendoakan supaya Ebit Lew diberi ganjaran berlipat ganda dengan segala kebaikan jika kes yang dihadapinya itu adalah fitnah.
“Saya bercakap atas kapasiti seorang sahabat baik yang tahu akar umbinya. Buat yang tidak tahu akar umbi dan pengetahuan sangat terhad, maka lebih baik tidak menyokong dan tidak mengeji.
“Boleh jadi tuan puan menyokong, walhal sedang menyokong kemungkaran yang tersembunyi. Dan bila mana menuduh orang lain membuat fitnah ke atas Ebit Lew, boleh jadi tuan puan pula sedang memfitnah orang tersebut yang menjumpai kebenaran.
“Tidak ada manfaat seorang mukmin untuk memfitnah mukmin yang lain dan adakah benar anda ada pengetahuan 100 peratus Ebit Lew tidak melakukannya? Bukan sekadar rasa-rasa,” katanya.
Beliau menasihatkan sesiapa yang mempunyai maklumat sahih berhubung dakwaan itu agar tampil membantu pendakwah itu keluar dari fitnah ini, begitu juga yang menjadi mangsa diminta tampil ke hadapan dan buat laporan.
“Ia satu jihad yang besar menyelamatkan lebih ramai lagi orang. Jangan takut, sesungguhnya Allah menjamin keselamatan org-orang yang benar. Bersabarlah dan bertahanlah. Pasti ada jalan keluar.
“Di dunia ini ada mahkamah. Di akhirat juga ada mahkamah. Marilah kita menyelamatkan setiap jiwa di antara kita untuk telus, jujur, ikhlas dan tidak khianat walau kita semua masih penuh dengan dosa dan sentiasa saling berpesan-pesan.
“Jangan menghina, jangan mengeji. Tetapi selamatkanlah diri kita sendiri dan semua saudara seagama kita dengan kata-kata yang adil dan doa yang baik-baik sebagai netizen. Semoga Allah ampunkan kita semua,” katanya. – Malaysiapost
