
PELIK tapi benar, namun itulah kisah seorang lelaki yang terpaksa bercerai selepas empat hari mengahwini isterinya yang merupakan sebuah periuk nasi.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, lelaki dikenali sebagai Khoirul Anam itu berkata ikatan perkahwinan yang dibina itu ternyata tidak bertahan lama, lalu memilih untuk menceraikan ‘isterinya’ itu.
Alasannya kerana si ‘isteri’ itu hanya mampu memasak nasi dan tidak tahu memasak makanan lain.
Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial memaparkan Khoirul Anam melakukan upacara perkahwinan dengan periuk nasi tersebut.
Khoirul pada 20 September lalu membuat keputusan untuk berkahwin dengan periuk nasi dan memberitahu dia memilih perkakas itu kerana ia berwarna putih, senyap dan bijak memasak nasi.
Kisah tersebut yang turut dikongsi laman Instagram @kl.foodie mendapat perhatian netizen yang kemudian meninggalkan pelbagai komen.
“Apa lagi yang dia (Khoirul) harapkan boleh dimasak oleh sebuah periuk nasi?” soal seorang netizen.
“Saya tertanya-tanya bagaimana agaknya ya dia bertengkar dengan ‘isterinya’ itu sebelum memutuskan untuk bercerai,” kata netizen lain. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Khoirul Anam
