BAM, KBS kutuk komen perkauman terhadap Kisona

0
1

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengutuk komen negatif bersifat perkauman oleh warga maya terhadap pemain perseorangan wanita negara, S Kisona yang beraksi dalam Piala Sudirman di Vantaa, Finland malam tadi.

Menerusi satu kenyataan hari ini, badan induk itu sangat terkejut dengan komen rasis terhadap pemain muda negara berusia 23 tahun terbabit.

“Sebagai badan pengelola sukan di negara ini, BAM tidak bertoleransi terhadap apa-apa bentuk perkauman atau diskriminasi dan kami benar-benar mengutuk kenyataan tersebut, dan akan sentiasa mempertahankan pemain kami.

“Komen mengerikan seperti itu tidak wajar dibuat, dan kami menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk tindakan tidak masuk akal itu.

“BAM akan terus memperjuangkan pembasmian perkauman dalam sukan, terutama dalam badminton. Kami terus menegakkan semua inisiatif yang mendukung pembangunan bangsa progresif dan inklusif,” kata kenyataan itu hari ini.

Terdahulu tular di media sosial seorang pengguna Facebook memuatnaik hantaran perkauman terhadap Kisona ketika aksi Piala Sudirman malam tadi.

Dalam aksi itu, Kisona tewas kepada pemain Jepun, Akane Yamaguchi 21-7, 21-5.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut membidas komen negatif berbaur perkauman terhadap Kisona dan menyiafatkan ia tindakan biadab yang tidak mencerminkan semangat keluarga Malaysia.

“Dalam keluarga Malaysia, kita ini diumpamakan seperti setandan pisang, ada yang elok, ada yang buruk. Jadi ada juga keluarga kita yang bangang dan bodoh yang tidak tahu untuk menggunakan bahasa dengan baik.

“Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun atau Murut, mereka berjuang untuk mengharumkan nama negara. Jadi jangan kita hina bangsa, kulit mahupun agama sesiapa juga,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Badminton Photo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here