Tengku Zafrul naik ETS ke Ipoh curi perhatian warganet

0
3

Aiman Hanif

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menggunakan pengangkutan awam Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi program Jelajah Belanjawan 2021.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Zafrul berkata peluang itu digunakan bagi merencana pelan strategik bagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Jelajah Belanjawan 2021 hari ini dimulakan dengan perjalanan ke Ipoh, Perak menaiki tren ETS. Sempat juga beramah bersama penumpang dan pegawai-pegawai perkhidmatan. 

“Semasa dalam perjalanan, saya dan pihak KTMB telah berbincang mengenai pelan-pelan strategik KTMB dalam menaiktaraf infrastruktur dan meningkatkan kepuasan pelanggan melalui servis perkhidmatan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Zafrul yang kini dalam Jelajah Belanjawan 2021 menjelajah ke seluruh negeri bagi bertemu pemimpin kerajaan negeri.

Beliau menarik perhatian warganet apabila tampil dengan gaya dan pendekatan sendiri ketika menjelajah ke setiap negeri.

Rata-rata warganet kagum dengan pendekatan menteri berkenaan yang tidak terlalu protokol dan mesra rakyat.

Ada yang berpendapat langkah diambil tepat bagi mengenal pasti permasalahan rakyat dan berharap ia dicontohi oleh menteri lain.

Ketika berkunjung ke Terengganu bagi tujuan sama baru-baru ini, Zafrul sempat berbasikal bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pelumba basikal Terengganu.

Pendekatan yang santai dan bersahaja itu telah menarik perhatian orang ramai.- Malaysiapost