ANAK kedua pelawak dan pelakon Shahrol Shiro, Ismail Rifqi selamat menjalani pembedahan buah pinggang di sebuah hospital swasta di Selangor, semalam.
Perkara tersebut dimaklumkan isterinya, Nor Farhanah Shamimi atau Anna menerusi satu hantaran di Instagram.
“Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Terima Kasih Ya Allah kerana telah mendengar doa hamba-hambamu. Alhamdulillah pembedahan Ismail berjalan dengan lancar dan Ismail akan terus ke wad.
“Terima kasih pada semua yang telah mendoakan urusan Ismail. Terima kasih pada yang tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa baik kalian,” tulis Anna.
Dalam masa sama, Anna turut berkongsi beberapa keping foto anaknya yang berusia lapan bulan itu selepas selesai menjalani pembedahan buah pinggang.
Menerusi InstaStory Anna, dia turut berkongsi foto anaknya berada dalam keadaan tersenyum.
“Terima kasih semua yang mendoakan kesihatan Ismail. Tengok tu dah boleh makan kemudian dah senyum,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan anak Shahrol perlu menjalani pembedahan buah pinggang secepat mungkin.
Menurutnya, doktor memberitahu organ berkenaan kini semakin membengkak dan 80 peratus salurannya telah tersumbat.
Katanya, pembedahan secepat mungkin perlu dilakukan bagi mengelakkan keadaan Ismail Rifqi menjadi lebih teruk. – Malaysiapost

