Bot karam, 10 individu dilaporkan hilang

0
1

LAPAN pemancing dan dua kru dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam di perairan Pulau Satang di Kuching, Sarawak, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi Carilamat diaktifkan pada jam 12.22 tengah hari tadi.

Katanya, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching menerima panggilan daripada seorang mangsa yang memaklumkan bot dinaiki karam, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, Bot Penyelamat 8 milik Maritim Malaysia yang sedang beroperasi di sekitar perairan Santubong, diatur gerak ke lokasi kejadian kira-kira 11 batu nautika dari Pulau Satang Besar.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Awam Telaga Air dan MRSC Kuching memaklumkan mengenai kejadian kepada agensi sahabat serta turut menyalurkan maklumat kepada ketua kaum di Kampung Telaga Air.

“Op Carilamat ditangguhkan pada jam 6.30 petang selepas tiada petunjuk ditemui dan pencarian akan diteruskan semula pada jam 7 pagi esok,” katanya dalam kenyataan.

Zin Azman berkata, keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian hari ini sedikit bergelora dengan kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak 1.5 hingga 2.0 meter.

“Sektor pencarian hari ini memfokuskan pencarian dua batu nautika sehingga 20 batu nautika dari perairan Pulau Satang.

“MRSC Kuching menyelaras Op Carilamat bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan seramai 20 pegawai dan anggota petugas di lokasi kejadian.

“Empat aset laut terbabit dalam operasi iaitu Penyelamat 8 Maritim Malaysia, dua buah aset PPM PSC 11 dan PA 1 serta sebuah aset JBPM,” katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak malam ini mengeluarkan senarai pemancing dan tekong bot yang hilang itu.

Lapan pemancing terbabit ialah Amri Abdullah, Mohd Asri Ibrahim, Muhammad Redzuan Rasul, Zaharudin Yusoff, Mohamad Faris Azizan, Mohd Sahrin Sahir, Mohd Firdaus Mohd Denan dan Rais Yahya.

Tekong bot hanya dikenali sebagai Baki manakala pembantunya Awang Omar Awang Hamsawi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here