KAMPUNG Orang Asli Chadak, Tanjung Rambutan di Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 16 Oktober depan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19 di lokaliti terbabit.
“Selain itu, turut dikenakan PKPD ialah Kampung Mokodou, Ranau di Sabah bermula 4 Oktober hingga 17 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Rodzi berkata, PKPD di Kampung Orang Asli Ulu Pareh, Bentong di Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan 14 hari lagi bermula Isnin ini hingga 17 Oktober depan. – Malaysiapost

