Bersatu sedia lawan Umno – Muhyiddin

0
2

BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Bersatu sedia melawan Umno pada pilihan raya akan datang sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, mereka perlu menghadapi ‘realiti politik’ itu sekiranya Umno enggan berganjak dalam pendiriannya.

“Inilah realiti politik – kadangkala kita kawan, kadangkala lawan.

“Kita sebagai Bersatu sudah ada pendirian, kalau Umno tidak ubah keputusan itu bermakna itulah keputusan yang mereka ambil, jadi kita sudah bersedia,” katanya memetik laporan FMT.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat dengan pemimpin Bersatu Sabah, hari ini.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keputusan enggan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah muktamad.

Kenyataan Zahid itu timbul selepas sehari Perikatan Nasional (PN) berkata parti berkenaan membincangkan pengagihan kerusi tanpa pembabitan Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, parti komponen mencapai konsensus membincangkan pengagihan kerusi dalam kalangan mereka untuk PRU15 tanpa membabitkan BN susulan tiada tanda Umno dan BN dalam hala tuju mereka.

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan Bersatu sudah bersedia dengan perancangan dan strategi.

“Kalau begitu kita terpaksa bertembung dalam PRU, tidak ada cara lain untuk mengelakkannya, jadi kita hadapilah…dan kita ada strategi kita, cara kita dan saya fikir banyak yang ada pengalaman, kita buat pelbagai kajian, tentang apa respons rakyat.

“Yang penting bukan parti politik, rakyat kata apa…rakyat akan melihat dari sudut siapa yang mereka percaya, yakin boleh beri apa saja bentuk sokongan dan bantuan yang diperlukan terutama zaman Covid-19.

“Mungkin mereka juga telah menilai apa langkah-langkah yang saya buat dulu, apa bantuan pakej rangsangan lebih RM530 bilion

“Maksud saya apa pun keputusan parti-parti mana, rakyat yang jadi penentu siapa yang mereka mahu,” katanya.

Ditanya bagaimana situasi semasa akan menjejaskan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam persiapan menuju PRU15, Muhyiddin berkata, beliau sudah beri petunjuk kepada Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, untuk membuat rundingan antara parti komponen berkenaan membabitkan perundingan agihan kerusi.

“Ini kerana, kita iktiraf Sabah berbeza dengan Semenanjung, jadi kita kena pertimbang sewajarnya.

“Kita percaya GRS sudah mewujudkan suasana selesa dalam kalangan rakyat. Mereka sudah berkhidmat kepada rakyat dan saya fikir kerajaan negeri dipimpin Hajiji juga sudah lebih setahun, banyak inisiatif sudah dibuat, ini faedah dan satu contoh baik,” katanya.

Mengulas lebih lanjut berkenaan Bersatu Sabah untuk berunding dengan Umno di negeri itu selepas mengambil kira pendirian parti itu yang berkemungkinan mematuhi keputusan parti di peringkat Pusat, Muhyiddin berkata, GRS mungkin boleh berbincang dan mendapatkan satu pendirian jelas bagaimana mahu menghadapi PRU15.

“Di peringkat negeri sudah selesai itu, sekarang peringkat Parlimen. Apapun keputusan saya minta peringkat negeri buat penilaian, nak wujudkan kerjasama atau sebaliknya, akan bergantung pada rundingan nanti,” katanya.

Dalam isu berasingan, Muhyiddin berkata, PN membuat keputusan menolak permohonan awal kemasukan satu lagi parti tempatan Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP).

Beliau berkata, PN juga tidak mendapat sebarang permohonan daripada Parti Cinta Sabah yang diketuai bekas Menteri Luar Anifah Aman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here