
TARIKH pembukaan pelancongan antara negeri akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negera (MKN), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Katanya, beliau tidak dapat menyatakan tarikh pembukaan itu kerana ia akan ditentukan oleh MKN dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri kelak.
“Pelancongan domestik antara negeri dirancangkan mula dibuka pada 1 Oktober lalu, tetapi kemudiannya ditangguh sehingga 90 peratus rakyat negara ini sudah menerima dua dos vaksin.
“Buat masa ini, hanya pelancongan dalam negeri sendiri sahaja yang dibenarkan kecuali Langkawi yang dibuka untuk gelembung pelancongan (travel bubble), iaitu antara negeri,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Nancy berkata, selain Langkawi, Melaka juga ditawar untuk program gelembung pelancongan tetapi kerajaan negeri itu menolak dengan alasan sukar untuk mengawal kemasukan pelawat ketika pandemik Covid-19.
Mengulas perkembangan program gelembung pelancongan antara negara, beliau akan mengadakan perbincangan bilateral dalam masa dua minggu akan datang dengan rakan sejawatan dan pegawai dari beberapa negara mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan dipersetujui bersama.
Jelas beliau, kementeriannya juga sudah mempunyai draf panduan SOP yang akan dikemukakan kepada MKN untuk kelulusan.
Menjawab mengenai Sarawak yang telah membuka pelancongan domestiknya bermula semalam, Nancy berkata, negeri itu mempunyai kementeriannya sendiri yang menguruskan perkara berkaitan pelancongan.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada 3 Oktober untuk membincangkan perkara tersebut secara lebih terperinci. – Malaysiapost
