Segerakan pembinaan loji rawatan, bekalan air di Kedah Rubber City – Mahdzir

0
2

PEMBINAAN loji rawatan air dan penyaluran bekalan air di tapak projek Kedah Rubber City, Padang Terap perlu disegerakan bagi membolehkan syarikat yang melabur di kawasan berkenaan dapat beroperasi sepenuhnya secepat mungkin.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata terdapat syarikat yang sudah memajak tanah bagi tujuan industri di tapak projek berkenaan.

Beliau menyatakan kebimbangan jika kemudahan sewajarnya tidak disediakan segera akan mendatangkan masalah kepada pihak pelabur.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan proses pembinaan loji rawatan air, kerana saya takut nanti syarikat nak masuk tapi loji rawatan air belum siap.

‘Jadi kalau air tak ada, dalam industri getah ni perlukan bekalan air yang banyak,” katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Bas Tambahan MARA Liner di Kuala Nerang, Kedah hari ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, selain bekalan air, projek pembangunan Kedah Rubber City juga memerlukan bekalan elektrik yang lebih tinggi.

“Untuk Padang Terap ni tak cukup bekalan elektrik sebab sekarang yang digunakan untuk seluruh Padang Terap ni 33 kb dan kita perlukan 132 kb dan 132 kb ni kena datang daripada Tanjung Pauh, Jitra, lebih kurang 41 kilometer,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi membolehkan projek itu dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menurutnya, ketika ini Kedah Rubber City telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM2 bilion daripada dua buah syarikat hiliran produk berasaskan getah.

“Kerja-kerja tapak sedang giat dijalankan oleh Northern Corridor Economic Region, (NCER).

“Setakat ini, projek itu sedang dalam Fasa 1 dengan lebih 24 hektar tanah sudah siap disediakan infrastruktur dan platform pembangunan fizikal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here