KEPUTUSAN bekas Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir menyertai Umno tidak menjejaskan Bersatu bahagian berkenaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ini kerana Erwan telah meletakkan jawatan dan keluar parti pada 10 Oktober tahun lalu selepas tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden Bersatu.
“Bersatu menegaskan bahawa akar umbi dan kepimpinan Bersatu Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan utuh.
“Dalam tempoh peletakan jawatan beliau, akar umbi Bersatu Bahagian Putrajaya terus diperkukuhkan di bawah kepimpinan pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Fathul Azam Hashim melalui penubuhan cawangan dan pendaftaran keahlian Bersatu yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, kepimpinan dan akar umbi Bersatu di semua peringkat sentiasa cekal dan istiqamah menghayati perjuangan parti dan tidak berlandaskan hanya kepada sokongan terhadap seseorang individu.
Semalam, Erwan mengumumkan keluar daripada parti itu serta-merta dan kembali menyertai Umno.
Erwan berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau yakin dan percaya hanya Umno dapat memartabatkan dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, perlembagaan Malaysia serta Raja-raja Melayu seperti dinyatakan di dalam asas penubuhan parti itu. – Malaysiapost

