DAP tolak cukai keuntungan modal

0
2

KERAJAAN perlu menyelamatkan rakyat dengan bantuan kewangan serta menghentikan projek yang membazir dan bukannya memperkenalkan cukai keuntungan modal yang akan menyebabkan beban kewangan tambahan kepada rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, menegaskan DAP membantah sebarang cadangan pelaksanaan cukai keuntungan modal, termasuk keuntungan saham, untuk membantu menyelamatkan kerajaan dengan menambah semula hasil.

Menurutnya, cadangan yang sama pernah dibangkitkan sebelum ini semasa beliau menjadi Menteri Kewangan ketika Pakatan Harapan memerintah.

“DAP akan menentang kerajaan yang mengenakan cukai keuntungan modal untuk meningkatkan hasil kerajaan. Cukai keuntungan modal seperti itu juga akan meliputi cukai harta pusaka.

“Cadangan cukai keuntungan modal dan cukai harta pusaka ini telah dibangkitkan dalam Kerajaan PH ketika saya menjadi Menteri Kewangan tetapi ditolak oleh saya kerana ia akan menjadikan Malaysia kurang kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kerajaan perlu menyedari bahawa Malaysia sedang menghadapi krisis nasional yang teruk akibat pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Pada saat yang genting ini, kerajaan perlu meletakkan keutamaan untuk menyelamatkan rakyat dengan bantuan kewangan dan bukan sebaliknya dengan mahu rakyat menyelamatkan kerajaan.

“Menawarkan bantuan kewangan untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat adalah kewajipan pemerintah dan bukannya memiskinkan rakyat dengan menekan mereka dengan cukai tambahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here