DATUK Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau memohon untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam berhubung kemelut politik yang didakwa berlaku di negeri itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, berkata pihaknya juga tidak mengetahui situasi sebenar mengenai keadaan politik di negeri itu seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.
“Ada berita (kata) saya mohon menghadap tetapi saya tidak, belum ada permohonan untuk saya menghadap TYT (Tuan Yang Terutama).
“Orang memaklumkan (mengenai kemelut politik), tetapi tiada yang konkrit. Saya hanya mendengar melalui laporan, tiada yang konkrit dalam pengetahuan saya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan tinjauan di Pantai Telok Kemang, Port Dickson, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan spekulasi kerajaan Melaka yang diterajui Umno goyang selepas dikatakan empat ADUN kerajaan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).
Malah, Anwar yang juga Presiden PKR dilaporkan dalam usaha untuk bertemu dengan Mohd Ali berhubung perkara berkenaan.
Spekulasi mengenai perkara itu bertiup kencang sejak semalam selepas terdapat empat nama yang dikatakan bakal beralih arah dengan menyertai PH.
Kerajaan Melaka ketika ini diwakili 17 ADUN dengan 14 daripadanya diwakili Umno diikuti dua Bersatu dan satu Bebas manakala pembangkang pula 11 kerusi.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata PH belum membuat keputusan mengenai penggunaan logo yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Perkara itu (logo) masih dalam perbincangan dan saya tidak boleh buat keputusan sendiri sebaliknya perlukan perbincangan dan persetujuan rakan dalam parti gabungan,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa PKR belum membuat keputusan mengenai calon yang akan bertanding pada PRU-15.
“Belum ada keputusan atau mana-mana calon akan bertanding di mana-mana kawasan termasuk Presiden,” katanya. – Malaysiapost

