52,774 remaja lengkap vaksinasi Covid-19

0
1
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

SERAMAI 1,498,274 atau 47.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech) sehingga 30 September lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata seramai 52,774 atau 1.7 peratus golongan terbabit telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A), berkata lima negeri setakat ini mencatat pencapaian tertinggi didahului Labuan dengan 77.6 peratus.

“Diikuti Kedah (67.1 peratus), Sarawak (62.7 peratus), Perlis (61.8 peratus) dan Melaka (59.4 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja juga memberi perhatian kepada golongan remaja orang kurang upaya (OKU) di pusat jagaan, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, institusi pendidikan dan remaja OKU terlantar di rumah.

Dr Noor Azmi berkata, berdasarkan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 67,676 remaja OKU berusia 12 hingga 17 tahun berdaftar sehingga 31 Ogos lalu.

“Terdapat seramai 51,361 (75.8 peratus) adalah remaja OKU dalam sistem pendidikan dan daripada jumlah itu 793 (1.5 peratus) adalah Murid Berkeperluan Khas (MBK) berada di sekolah berasrama.

“Selain itu ramaja OKU juga berada di 705 institusi pemulihan harian dan pusat jagaan kerajaan atau swasta serta 21 institusi OKU berkediaman,” katanya.

Beliau berkata, proses pemberian vaksin kepada remaja OKU di institusi dan yang terlantar di rumah akan dilakukan secara program jangkau luar (outreach) dan berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi.

“Bagi remaja OKU terlantar yang tiada tersenarai dalam senarai penerima Banduan Pesakit Terlantar JKM, ibu bapa atau penjaga boleh hadir ke klinik Kesihatan berdekatan atau memaklumkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Remaja OKU bersekolah harian akan diberi vaksinasai secara berjadual di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau sekolah, manakala bagi yang bersekolah asrama pula akan menerima janji temu vaksinasi di MySejahtera,” katanya.

Menurutnya, bagi remaja OKU dengan masalah tingkah laku seperti Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), masalah mental atau dengan komorbid lain, pemberian vaksinasi boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan rumah mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here