KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan memberi tumpuan dalam menyempurnakan prasarana 4G dengan sekurang-kurangnya 35 megabit sesaat (Mbps)kelajuan capaian internet di seluruh negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata keberadaan prasarana yang sempurna adalah perkara asas yang menentukan perkembangan ekonomi digital.
“Ia disusuli pula dengan kualiti prasarana tersebut dan keupayaan rakyat Malaysia serta pengetahuan untuk menikmati prasarana yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annuar berkata, tumpuan KKMM adalah memastikan lebih ramai rakyat berpeluang melibatkan diri dalam ekonomi digital sesuai dengan pembudayaan norma baharu.
Katanya, ia bukan setakat terhad kepada perniagaan, tetapi merentasi semua sektor seperti industri kreatif, pertanian dan juga kewangan.
“Justeru, rangkaian 4G terus dimantapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menamatkan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.
“Ia secara tidak langsung dapat mempercepatkan pelancaran 5G penghujung tahun ini iaitu setahun lebih awal daripada rancangan asal bagi menyokong penghantaran data pantas dan memperluaskannya kepada 9 juta premis menjelang 2025,” katanya.
Annuar berkata, Teknologi 5G ini mampu memberikan pengalaman internet berkelajuan tinggi pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding teknologi 4G.
Katanya, dalam usaha mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh rakyat bagi mendapatkan akses kepada perkhidmatan internet, KKMM bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.
“Ia termasuk menyediakan dua pakej mampu milik iaitu Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Pakej Remaja Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

