MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menzahirkan kebimbangan dengan trend kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi serta penyokong parti pemerintah yang telah dilepaskan atau dibebaskan dari pendakwaan.
Barisan kepimpinan pembangkang itu mendakwa golongan terbabit dibebaskan dengan hanya sama ada memulangkan sejumlah wang yang didakwa diterima secara tidak sah atau dengan membuat bayaran kompaun.
Perkembangan itu dikhuatiri akan menjadi prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pihak pendakwaan terutama membabitkan kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.
“Kami menggesa Peguam Negara untuk beri penjelasan memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan Peguam Negara.
“Peguam Negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi SOP baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.
“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada ‘barang kes’ tersebut?” soal Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dibuat secara bersama oleh Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Kenyataan itu merujuk kes membabitkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, yang juga Ahli Parlimen Pontian yang dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan di mahkamah setelah membayar kompaun walaupun perbicaraan telah bermula.
“Majlis Presiden juga kesal dengan sikap acuh tak acuh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengiakan trend baharu ini.
“Bolehkah SPRM memberikan penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas sepertimana yang membabitkan ahli politik penyokong kerajaan?
“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum (rule of law), trend baharu Peguam Negara dan SPRM ini jelas melanggar prinsip keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga mesti disaksi dilakukan,” katanya.
Majlis Presiden PH, berkata tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki agar SPRM mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai. – Malaysiapost

