KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir mahu Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) diaudit juru audit bebas selain Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Beliau berkara, perkara itu perlu demi kepentingan awam sekali gus memulangkan kembali keuntungan ‘atas angin’ RM13.69 juta sebagai hasil kerajaan.
Katanya, perkara itu diambil maklum melalui kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyangkal dakwaan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjual tanah kepada syarikat miliknya, namun beliau sebelum ini dituduh berkaitan jualan tanah membabitkan YWP.
Menurutnya, Tengku Adnan merupakan Pengerusi YWP ketika itu kerana kedudukannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
“Justeru, YWP sebelum ini bertindak sebagai yayasan kebajikan tetapi berdepan kritikan kerana disyaki digunakan untuk tujuan politik pada waktu tersebut.
” DBKL sebelum ini sepatutnya menjual tanah seluas 1.052 hektar kepada Pinnacles Homes SP Sdn Bhd pada harga RM30.48 juta, namun pada tahun 2013 YWP menyatakan hasrat untuk membangunkan tanah tersebut kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Tengku Adnan kemudian bersetuju dengan cadangan YWP dan mengarahkan supaya surat pelepasan diperoleh daripada Syarikat Pinnacle Homes dan tanah itu akhirnya dijual kepada YWP pada harga RM30.48 juta,” katanya menerusi Facebook.
Namun begitu, beliau berkata, hakmilik lot ini telah dipindah milik kepada Pinnacle Homes, pada 3 September 2015.
“Jadi, penjualan ini membolehkan YWP memperoleh keuntungan ‘atas angin’ berjumlah RM5 juta.
“Laporan audit juga menyebut bahawa modus operandi yang sama digunakan oleh YWP bagi tanah Lot 1248 dan Lot 1254 sepanjang Jalan Imbi. Bersama-sama penjualan tanah di Jalan Radin Anum 1, YWP mengaut keuntungan ‘atas angin’ RM13.69 juta.
“Menurut prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), YWP bukan milik Kementerian atau DBKL tetapi membantu kedua-dua entiti berkenaan dalam menjalankan program sosial dan kebajikan. PAC juga tidak dibenarkan untuk mengaudit YWP kerana badan itu tidak dianggap sebagai entiti awam,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, laporan Audit 2019 Siri 2, yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa lalu, membidas YWP kerana menukar tanah milik DBKL berkenaan.
“Meskipun Tengku Adnan tidak memiliki YWP, laporan audit tersebut menyatakan bahawa terdapat unsur-unsur percanggahan kepentingan.
“Oleh itu saya mendesak YWP diaudit oleh juru audit bebas selain dibawa PAC kerana ia berkait kepentingan awam dan seterusnya RM13.69 juta dipulangkan sebagai hasil kerajaan,” katanya. -Malaysiapost

