“HARAP maklum saya tidak dapat dihubungi buat sementara waktu,” kata Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.
Menerusi perkongsian di Twitter, beliau memaklumkan perkara itu selepas telefon pintar miliknya diambil polis Bukit Aman dipercayai bagi siasatan kes dakwaan penyebaran surat Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 29 Julai lalu.
“Saya hendak maklum bahawa telefon saya akan diambil oleh Bukit Aman berkaitan sebaran surat YDPA tempoh hari. Harap maklum saya tidak dapat dihubungi buat sementara waktu. Terima kasih,” tulisnya.
Sebelum ini, Noor Amin dilihat antara yang terawal berkongsikan warkah tersebut dalam laman sosial beliau.
Dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menghadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lepas. – Malaysiapost

