BUKAN saja dine-in di kedai, malah peraturan mewajibkan vaksinasi lengkap bagi setiap individu adalah terpakai untuk semua kemudahan serta kelonggaran yang diputuskan kerajaan.
Perkara itu dinyatakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa dine-in bagi semua fasa pemulihan hanya untuk individu yang lengkap divaksinasi.
“Ya, malah bukan sahaja dine-in tetapi Kabinet juga setuju setiap kemudahan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal di semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarahkan supaya segera mengemaskini peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.
Hishammuddin berkata, syarat-syarat tersebut mesti dipatuhi sepenuhnya semua pihak demi memerangi Covid-19.
Beliau berkata demikian ketika mengulang ciap kenyataan Khairy berhubung syarat vaksinasi lengkap untuk dine-in melibatkan semua fasa PPN termasuk Lembah Klang yang memasiki Fasa Tiga hari ini.
Terdahulu tular di media sosial semua individu bagi negeri-negeri Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan dine-in susulan SOP dikeluarkan MKN yang tidak dikemaskini. – Malaysiapost

