JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menjelaskan kematian seorang pelajar perempuan di daerah Baling tiada kaitan dengan suntikan vaksin Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, pihaknya telah membuat siasatan segera mengenai perkara tersebut dan mendapati dakwaan itu tidak benar.
Katanya, hasil siasatan mendapati, arwah adalah remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bukan lagi pelajar sekolah.
“JKN Kedah ingin merujuk kepada berita yang tular dalam media sosial, baru-baru ini, berkaitan seorang pelajar perempuan di daerah Baling yang meninggal dikaitkan dengan suntikan vaksin Covid-19.
“Beliau telah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 pada 5 September lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Abdul Razak, Baling.
“Beliau mengadu sakit perut pada 19 September lalu dan diberi rawatan di Hospital Baling, namun selepas 20 hari divaksin iaitu pada 25 September 2021, beliau dibawa ke Hospital Baling kerana tidak sedarkan diri.
“Tahap kesihatan beliau cepat merudum dan kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini. Dr Othman, berkata jenazah telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
Jelasnya, hasil bedah siasat mendapati arwah meninggal dunia disebabkan ruptured thoracic aneurysm dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin Covid-19.
“Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan. Jabatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan ini,” katanya.
Beliau juga menasihati masyarakat umum agar elakkan mempercayai serta menyebarkan berita yang tidak disahkan dan dapatkan maklumat yang sahih berkaitan vaksin dan jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

