‘PM7 pun tak cerita pasal perabot PM6’

0
3

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini menyindir Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kenyataan bekas Perdana Menteri itu mengenai Datuk Seri Najib Razak yang didakwa mengeluarkan perabot daripada Seri Perdana.

Beliau sebaliknya memuji seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya tidak bercerita mengenai hal peribadi Najib walaupun tidak suka kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Rasa nak puji sikit PM7 (Dr Mahathir). Walaupun PM7 tak suka PM6 (Najib), PM7 tak cerita fasal perabot PM6 kepada khalayak ramai. Ini hal peribadi.

“Mekanisme helah bela diri adalah istilah psikologi mengenai penderitaan ego seseorang.

“Kat sekolah, bila ditanya kenapa tak buat kerja sekolah? Jawapnya ini salah kawan yang ambil balik pensil milik dia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Semalam Muhyiddin berkata keputusan membaik pulih kompleks Seri Perdana yang dibuat ketika pentadbirannya adalah untuk memulihara selain menerima laporan mengatakan Najib mengeluarkan perabot daripada rumah rasmi Perdana Menteri itu.

Muhyiddin berkata, mengikut laporan Jabatan Perdana Menteri (JPM) jika kediaman Perdana Menteri itu tidak dibaik pulih segera, bangunan tersebut akan mengalami kerosakan lebih teruk dan kos membaik pulih akan meningkat.

“Ketika saya mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020, saya menerima laporan daripada JPM berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.

“Berdasarkan laporan, pihak JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri keenam dipindah keluar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here