MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyangkal kenyataan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) yang mengkritik keras dasar tindakan afirmatif yang telah dipersetujui sejak sekian lama berkenaan pemilikan ekuiti 51 peratus Bumiputera.
Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin bekata kenyataan FMFF menghina Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta hak Bumiputera sedangkan ia tidak melibatkan perniagaan pengelola/fret tapi hanyalah syarikat ejen penghantaran yang menjalankan aktiviti ‘customs brokerage’.
Katanya, dasar itu telah dipersetujui sejak DEB diperkenalkan pada tahun 1971 untuk membantu meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam sektor logistik dan ia selari dengan Artikel 153 Perlembagaan.
“Terdapat pelbagai lesen diperlukan dalam sektor logistik tetapi hanya satu lesen sahaja iaitu Lesen Ejen Penghantaran (forwarding/custom clearance) yang memerlukan 51 peratus ekuiti Bumiputera.
“Lesen-lesen Pergudangan, Pengangkutan, Perkapalan, Agen kargo udara, Pengangkutan Darat, Perkhidmatan lori rentas sempadan, Depot Simpanan Kontena Kosong, Pengangkutan Kontena, Perkhidmatan Logistik Keseluruhan, Integrated Logistics License (ILS), Bonded Storage, Pergudangan di kawasan diwartakan tidak disyaratkan untuk dimiliki 51 peratus oleh Bumiputera.
“Malah lesen tersebut boleh diperoleh oleh syarikat 100 peratus bukan Bumiputera,” katanya menerusi kenyataan hari ini. FMFF sebelum ini mengadu peraturan pegangan Bumiputera untuk pemegang lesen kastam Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) tidak dikenakan kepada syarikat asing, justeru memberi kelebihan tidak adil kepada mereka.
FMFF dalam sepucuk surat telah meminta kerajaan untuk memberikan penjelasan lanjut. Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, perniagaan dari Lesen Ejen Penghantaran hanya terhad kepada kerja melibatkan pelepasan kastam sahaja dan tidak merangkumi fungsi lain seperti penghantaran lori, pergudangan dan lain-lain.
Katanya lagi, kajian ringkas pihaknya menunjukkan pendapatan dari aktiviti penghantaran secara purata hanya kira-kira RM100,000 setahun memberi keuntungan bersih lingkungan RM30,000 hingga RM40,000 setahun atau RM4,000 sebulan iaitu berada dalam kategori pendapatan B40.
“Boleh dianggap syarikat penghantaran ini secara purata kalau dibandingkan dengan industri binaan mereka tidak lebih dari kategori syarikat Kelas ‘F” atau G1.
“Walaupun semua pemain industri sudah tahu tentang ketetapan ini sejak sekian lama, namun kerajaan masih bersikap wajar, kerana pada tahun 2018 telah diputuskan bahawa Syarikat Ejen Penghantaran sebelum 1976 tidak perlu patuh pada syarat ini.
“Syarikat yang berdaftar antara 1976 hingga 1990 diminta untuk mematuhi syarat 30 peratus pemilikan Bumiputera manakala selebihnya barulah diminta untuk mematuhi syarat 51 peratus pemilikan Bumiputera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, dakwaan FMFF yang menyatakan ada desakan kepada kerajaan untuk memaksa pemegang saham bukan Bumiputera untuk jual (divest) saham mereka kepada Bumiputera adalah tomahan tidak berasas, tidak masuk akal, berniat jahat serta memutarbelitkan fakta dan cuba mengeruhkan hubungan sesama kaum.
“Kenapa perlu mereka mendesak jika sudah pun miliki 51 peratus ekuiti? Dakwaan sebegini wajar dikenakan tindakan. MTEM menyarankan FMFF untuk jangan salah tafsir slogan Keluarga Malaysia sebagai tanda isyarat mengagalkan agenda ekonomi Bumiputera melalui tindakan afirmatif untuk sektor yang paling kecil dalam industri,” katanya.
MTEM juga katanya, memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi mesej jelas dan tegas dalam melaksanakan dasar yang ditetapkan dengan beberapa syarat tambahan bukan sahaja dari isu ekuiti, malah memastikan pekerja, pengurus dan pengarah juga melibatkan Bumiputera.
“Malah semua pemegang ekuiti Bumiputera itu perlu menghadiri temuduga oleh Kastam untuk membuktikan mereka bukan “Ali” dalam syarikat Ali Baba.
Hasutan FMFF ini melagakan keluarga Bumiputera dengan bukan Bumiputra dengan tuduhan yang tidak adil seolah-olah Bumiputera mahu mencuri hak dan kekayaan mereka,” katanya. – Malaysiapost

