Remaja rebah selepas divaksinasi sebab gementar, tak makan

0
2
{"source":"other","uid":"3F5F2710-B87A-4FF5-86BA-45E10FB6FDE2_1633006340411","origin":"free_style","fte_sources":[],"used_sources":"{"sources":[],"version":1}","premium_sources":[],"is_remix":false}

SEORANG remaja secara tiba-tiba lemah dan rebah selepas selesai suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Encore Klebang, Melaka, hari ini.

Kejadian itu disahkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang memaklumkan remaja lelaki berusia 12 tahun itu hadir secara walk-in ke PPV berkenaan untuk suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Rusdi Abd Rahman berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kerana remaja terbabit gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi.

“Remaja ini juga telah tidur lewat iaitu pada 2 pagi, selain tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.

“Dia juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sebarang sejarah alahan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kejadian itu, Dr Rusdi berkata, semasa proses vaksinasi remaja terbabit agak gementar, tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

“Namun begitu selepas selesai pemerhatian dan dalam perjalanan pulang di kawasan parkir kenderaan, remaja itu tiba-tiba lemah dan rebah sehingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya.

“Pemeriksaan Pegawai Perubatan bertugas mendapati keadaan remaja itu stabil dengan vital sign (tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darah) adalah normal sebelum dia dibenarkan pulang selepas pemerhatian selama 30 minit,” katanya.

Beliau berkata, panggilan telefon susulan kepada keluarga selepas itu juga mendapati remaja berkenaan sihat dan aktif seperti sedia kala.

“Kepada semua ibu bapa dan penjaga yang membawa anak untuk vaksinasi, pastikan anak mendapat rehat mencukupi dan makan sebelum ke PPV.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih berhubung perkara ini dan boleh menelefon bilik gerakan vaksin di talian 06-2356876/06-2930164,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 36 saat di media sosial menunjukkan remaja lelaki berkenaan dipapah dalam keadaan lemah sebelum seorang anggota Rela membantu mengangkatnya masuk ke dalam PPV untuk rawatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here