Semua nak salahkan Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

“JANGAN gunakan saya sebagai alasan sekiranya ianya niat kamu untuk belanja RM38.5 juta untuk kediaman pada ketika sendiri beritahu rakyat bahawa kerajaan tak ada banyak wang lagi untuk bantu rakyat,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian kerana mendakwa dirinya dijadikan alasan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meluluskan projek ubah suai dan naik taraf kediaman Seri Perdana dengan kos RM38.5 juta.

Beliau turut memberi penerangan apa yang didakwanya punca kediaman rasmi Perdana Menteri itu hendak diubah suai dan dinaik taraf.

“La… tak sanggup percaya bahawa saya dijadikan alasan PM8 (Muhyiddin) untuk meluluskan projek ubah suai dan naik taraf kediaman Seri Perdana. Ceritanya begini.

“Selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya dan keluarga saya diberikan masa beberapa jam sahaja untuk meninggalkan Seri Perdana sebab PM7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) percaya bahawa ada banyak rahsia tersimpan di sana.

“Pada Ogos 2018, saya tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, surat berkenaan tidak dibalas dan pada Ogos 2019 beliau sekali lagi menghantar surat untuk permintaan yang sama dan hanya selepas 14 bulan kemudian iaitu 21 Oktober 2020, JPM baru membalas dan beri kebenaran.

“Namun, ia dengan syarat hanya senarai barang-barang termasuk perabot yang dapat dibuktikan adalah dibeli oleh saya, bukan aset kerajaan dibenarkan.
Senarai tersebut diperiksa dan diluluskan JPM.

“Sehubung itu, JPM pun menulis satu lagi surat pada 18 Nov 2020 untuk suruh saya angkat balik barang-barang peribadi dan beri tempoh dua minggu untuk pindah barang sebelum 3 Disember 2020,” katanya yang difahamkan projek naik taraf diluluskan Januari 2021 dan kerja bermula Mac 2021.

Najib berkata, gesaan supaya memindahkan barang segera itu menimbulkan rasa pelik, namun mendapat tahu seorang pengurus baharu Seri Perdana telah dilantik yang difahamkan adalah saudara Perdana Menteri ketika itu.

“Dikatakan PM8 ada rancangan untuk menaik taraf Seri Perdana sebab dia mahu pindah ke sana. Antara cadangan mereka ialah untuk memperluaskan bahagian dapur sebab mereka kata ruang dapur sedia ada terlalu kecil. Itulah cerita sebenarnya.

“Kita hanya dibenarkan untuk keluarkan barang-barang dari senarai muktamad diluluskan dan diberi JPM. Bukan ikut suka hati kita,” katanya.

Najib berkata, dia dituduh mengambil barangan di kediaman itu sehingga keadaan memaksa untuk meluluskan ubah suai serta naik taraf kediaman Seri Perdana dengan jumlah RM38.5 juta, bukan kerana Perdana Menteri ingin tinggal di situ

“Habis tu, nak belanja RM38.5 juta untuk apa? Untuk dibiarkan kosong tanpa sesiapa mahu duduk di sana?” soalnya sinis.

Beliau turut menawarkan perabot miliknya yang dibawa keluar dari Seri Perdana sebelum ini secara percuma kepada kerajaan ketika ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here