Dr Nik Safiah sedih, mahkamah tak guna bahasa Melayu

0
3

Nilam Oshman

Pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim mengakui sedih apabila hakim dan peguam seakan-akan tidak mahu mencuba menggunakan bahasa Melayu dalam prosiding di mahkamah.

Ini kerana, katanya, tiada paksaan dan tindakan dikenakan apabila tidak berbahasa Melayu di mahkamah, maka mereka mengambil jalan mudah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Mengikut peraturan (akta dan pekeliling) memang ada arahan supaya bahasa Melayu digunakan dalam mahkamah.

“Jika ada orang yang tak faham bahasa Melayu, maka disediakan penterjemah, tetapi sekarang kita dapati baik hakim, majistret atau peguam, mereka menggunakan bahasa Inggeris.

“Jadi kita rasa sedih bahawa kurangnya semangat kebangsaan dalam kalangan kedua-dua pihak, hakim dan peguam. Kita sudah bagi waktu yang begitu lama untuk mereka belajar bahasa Melayu.

“Mereka lebih biasa dengan bahasa Inggeris dan tak mahu cuba menggunakan bahasa Melayu kerana tiada paksaan dan tindakan dikenakan apabila tidak guna bahasa Melayu, maka mereka mengambil jalan senang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Post.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Malaysia Post semalam mengenai nilai bahasa Melayu di mahkamah yang diutarakan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Mohd Khairul Azam dilaporkan berkata sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu wajib digunakan di mahkamah dan hakim perlu tegas dalam penggunaannya.

Beliau menjelaskan, punca kuasa pertama adalah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan.

Mengulas lanjut, Dr Safiah berkata, beliau berasa sedih kerana hakim dan peguam yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam situasi rasmi perbicaraan, bagaikan tiada rasa tanggungjawab dan hilang semangat kebangsaan.

“Kita harap lebih ramai menggunakan dan memartabatkan bahasa Melayu,” ujarnya.