Pok Ya Cong Codei dah jadi tauke frozen mart

0
2

Nilam Oshman

Pengarah dan pelakon telemovie Pok Ya Cong Codei, Sabri Yunus kini menjadi usahawan dengan membuka Dee Frozen Mart di Pandan Indah.

Dee Frozen Mart memulakan operasi secara rasmi pada 19 Julai lalu, di mana ramai rakan artis turut hadir memberi sokongan kepada Sabri.

Katanya, selepas sekian lama berada dalam industri hiburan, ini kali pertama beliau menceburi bidang perniagaan iaitu satu bidang yang asing baginya.

pix FB Dee Frozen Mart Pandan Indah

“Hari dalam sejarah, hari pelancaran bukan sekadar Dee Frozen Mart tetapi pelancaran fasa baru dalam kehidupan ambo (saya). Terima kasih sokongan, semoga berterusan,” katanya menerusi Facebook.

Namun dalam hantaran beberapa hari sebelumnya, Sabri memaklumkan, beliau tidak akan meninggalkan dunia pengarahan dan lakonan kerana ia telah sebati dengan dirinya.

Perkembangan terbaru Sabri, beliau terlibat sebagai pelakon untuk sebuah drama “Sabda Kekasih” arahan Azhari Zain.

Jelasnya, beliau melalui fasa baru dalam hidup setiap sepuluh tahun dan terus bergerak dengan fasa baru tanpa meninggalkan fasa lama.

“2020 ada fasa baru lagi dalam hidup ini nampaknya dan semua fasa yang lama tidak pernah aku tinggalkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sabri berkata, pemilik utama syarikat tersebut adalah Rushdi yang merupakan bekas penolong pengarah untuk beberapa buah drama arahannya sebelum ini.

“Rushdi atau lebih dikenali dengan panggilan Dee sebelum ini membuka sebuah kedai nasi ayam di lokasi yang sama yang dikenali Dee Nasi Ayam kira setahun lebih yang lalu,” katanya.

Selain Sabri, turut menjadi rakan kongsi Dee Frozen Mart ialah anak lelakinya, Saidi yang sering muncul dalam drama dan filem arahannya.