Armada sanjung pengorbanan PAS

0
2

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu menyanjung kematangan pendirian dan sikap positif ditonjolkan kepimpinan PAS yang berbesar hati walaupun tiada calonnya diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pihaknya amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi PAS, sekali gus ia bukti kesetiaan, keikhlasan dan muafakat demi memastikan kemenangan sebagai sebuah perikatan.

“Pengorbanan besar ini akan dapat memastikan tiada pertembungan lebih daripada dua penjuru dan Perikatan Nasional (PN) dapat membariskan calon tunggal yang ‘wajib menang’.

Armada berdiri bersama PAS yang meletakkan keutamaan pada PRU Ke-15 akan datang.

“Sebagai sebuah parti berpengaruh di Semenanjung Malaysia khususnya pantai timur, PAS mempunyai kekuatan untuk menjamin kemenangan rakan-rakan dalam PN di seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, demi mencapai matlamat itu, amatlah penting bagi semua teraju utama parti untuk berunding dengan lebih terbuka dan ikhlas.

Bersatu, khususnya Armada, katanya, mengulangi tekad untuk meneruskan kerjasama dengan PAS di bawah panji PN.

“Semoga ukhuwah antara Bersatu dan PAS terus terpelihara untuk terus memartabatkan agama, nusa dan bangsa tercinta. Selamat maju jaya buat semua di PRN Sabah!.” – Malaysiapost