Annuar: PM tak maksudkan Hajiji Ketua Menteri Sabah

0
1

Aiman Hanif

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa tampil memperbetulkan laporan media yang melaporkan kononnya Datuk Hajiji Noor dicadang sebagai calon Ketua Menteri Sabah oleh Bersatu.

Annuar berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengumumkan Hajiji sebagai calon Ketua Menteri jika parti gabungan kerajaan menang.

“Saya baru bercakap dengan editor di Utusan Malaysia online yang melaporkan ‘Hajiji calun KM Sabah-Muhyidin’.

“Setelah disemak,ia jelas tidak menggambarkan apa yang sebenar dituturkan oleh YAB PM,” tulis Annuar dalam satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Muhyiddin membayangkan Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu mungkin dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah jika Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri dalam satu majlis di Tuaran pagi tadi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin memberi bayangan Hajiji bakal memegang jawatan ketua menteri jika disokong rakan parti lain.

Bagaimanapun Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata calon Ketua Menteri Sabah akan ditentukan selepas gabungan itu menang.

Dalam pada itu Annuar turut memuat naik transkrip ucapan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu:

“Mana nak tahu, kalau rakan-rakan kita di PN, BN pun bersetuju, yang terbaik nak kita tawarkan sebagai calon untuk meminpin negeri Sabah, tidak lain tidak ialah Hajiji”

“Ini juga memerlukan persetujuan dari sekutu Bersatu”

Annuar berkata, Ketua Menteri Sabah hanya akan diputuskan selepas selepas PRN.

“Benar, KM Sabah hanya akan diputuskan selesai PRN oleh adun-adun GRS yang menang nanti, sesuai dengan undang-undang tubuh negeri Sabah,” kata Annuar lagi.- Malaysiapost.