JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan had jemaah solat Jumaat dan fardu dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau, berkuatkuasa esok.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata ketetapan baharu itu bagi menjunjung titah perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta selaras dengan perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa 1 Oktober 2021.
“Kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah yang lain.
“Semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Tazkirah Sebelum Solat Jumaat, Tadarus Al-Quran, Kuliah Muslimat, Bacaan Yasin, Tahlil, Program Zikir Munajat dan Doa tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Ajib berkata, pihaknya berharap umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Semoga umat Islam memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir,” katanya. – Malaysiapost

