Pihak swasta tidak simpan data, maklumat peribadi rakyat – Hamzah

0
2

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menafikan memberikan sebarang kerja penyimpanan data dan maklumat peribadi rakyat negara ini kepada pihak swasta, sebaliknya semua tugas itu dibuat agensi kerajaan berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata dakwaan mengatakan terdapat pihak swasta melakukan tugas berkenaan adalah hanya andaian pihak tertentu, sedangkan ia tidak pernah berlaku.

“Semalam saya sudah jawab isu berkaitan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ini, saya sudah maklum kita hanya beri (tugas penyimpanan data dan maklumat peribadi) kepada agensi kerajaan.

“Kita tidak beri kepada pihak swasta, semua itu (dakwaan penyimpanan data dan maklumat peribadi oleh pihak swasta) hanya andaian semata-mata,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Semalam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tiada sebarang kebocoran dan ketirisan maklumat dalam pangkalan data peribadi MyIdentity dengan sistem kawalan keselamatan data FireWall adalah sangat kukuh melindungi semua maklumat peribadi rakyat.

Susulan itu, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kebocoran empat juta data peribadi rakyat Malaysia yang lahir sejak 1979 sehingga 1998 yang didakwa dari sistem MyIdentity.

Mengulas mengenai hasil siasatan polis berhubung kes kehilangan wang AS$6.94 juta (RM29 juta) membabitkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau memaklumkan kes itu sedang disiasat secara terperinci oleh polis.

“Isu ini kita kena buat siasatan secara terperinci dahulu dan apabila siap siasatan, baru kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Semalam, AGC memaklumkan Bahagian Pendakwaan agensi itu, telah menerima kertas siasatan berhubung kes berkaitan kehilangan wang AS$6.94 juta (RM29 juta) daripada SPRM.

Pada 23 September lalu, media melaporkan PDRM akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here